Sunday, December 11, 2011

Gila-Gila Remaja

Ramai kata saya dah lama tak update. Saya kata orang dah ramai tak tengok. Mereka kata kamu tak update, maka tak ramai lah yang tengok. Saya biarkan sahaj perkara itu berlalu. Baru-baru ini saya diberi peluang untuk menulis sekaligus bekerja. Kolumnis lah tu. Ruangan yang diberikan dalam majalah tersebut ialah Halaqah Remaja. Sedap bunyinya.

Saya tidak berfikir untuk mempromosi, tetapi inilah cover majalah tersebut. Siapa ada duit dipersilakan untuk beli (promosi juga bunyinya).

Remaja hari ini pemimpin masa hadapan. Perkara ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Yalah, siapa lagi yang akan memimpin dunia ini bila genrasi yang berada di atas sudah tiada? Jelas, memang tiada masalah untuk semua orang memahami hakikat itu. Malah, terdapat kata-kata, “jika mahu lihat runtuh atau bangunnya sesebuah bangsa itu, lihatlah kepada remajanya”.

Walaubagaimanapun, masalah sebenar yang betul-betul menakutkan timbul apabila kita melihat kepada realiti remaja zaman globalisasi ini. Pandang akhbar setiap hari, cerita masalah remaja. Baca blog-blog atau laman social di internet, ternampak masalah remaja. Tonton televisyen pun, terserlah masalah remaja. Apa masalah remaja zaman ini sebenarnya?

Remaja yang gila dengan hiburan melampau

Sekilas pandang remaja kini, rata-ratanya pasti mempunyai jadual hidup yang padat dan masa terluang yang sangat sempit. Setiap masa, pasti ada perkara yang dilakukan olehnya. Buktinya, cuba anda mengajak mereka untuk ke masjid sembahyang berjema’ah. Pasti jawapannya,

“tak boleh lah. Homework banyak sangat cikgu beri.”

“maaf lah. Malam ni Tottenham Hotspur lawan Liverpool. Solat di kedai mamak saja lah”

“kalau aku dah menang dota, aku datang lah sembahyang nanti

Ini lah remaja sekarang. Hidup padat dengan aktiviti-aktiviti yang dirancang, tetapi tanpa agenda yang jelas dan tepat. Kalau ditanya, apa yang mereka mahukan di dunia ini, pasti mereka akan tergigit lidah mencari jawapannya. Tambahan lagi jika ditanya, untuk apa mereka dijadikan oleh Allah di muka bumi ini, pasti mereka akan memberi reaksi muka yang malu-malu kucing disertai dengan senyuman tanda segan yang teramat. Ini kerana, hidup mereka hanya dibayangi oleh hiburan melampau. Dalam kalimah lainnya boleh dikatakan sebagai hedonisme.

Mari kita cuba selami kehidupan remaja hedonism ini. Bangkit mereka daripada tidur oleh disebabkan lagu heavy metal yang dipenuhi tempikan dan muzik rock melampau yang dijadikan nada penggera alarm di telefon bimbit canggih mereka. Kerja-kerja mereka di komputer, tidak kira assignment, folio ataupun sekadar membuka laman social pasti akan ditemani lagu juga. Berjam-jam di hadapan computer tidak terasa lamanya. Pakaian yang dipakai mesti jelas Nampak bergaya, kalau boleh kurang satu saiz daripada saiz sebenar. Tidak cukup dengan itu, pada waktu malam, mereka menghabiskan masa hingga ke awal pagi untuk melepak bersama kawan yang kononnya teman sejati di kedai makan ditemani rokok yang menyala di tangan ataupun shisha yang berbau harum. Pulang ke rumah dalam keadaan mengantuk, tidur dan kitaran ini berulang seperti di atas.

Inilah yang dipanggil hedonisme, hiburan sebagai matlamat utama kehidupan. Masa, duit dan tenaga dikerahkan untuk memuaskan kehidupan berhibur yang melampau. Mereka benar-benar gila dengan hiburan.

Remaja memang gila, walaupun sahabat nabi.

Mustahil untuk kita memisahkan remaja dengan sifat gila. Malah, gila itu adalah perkara yang terpuji dan perlu dihargai. Berani untuk saya katakana bahawa ramai para sahabat yang zaman remajanya dipenuhi dengan kegilaan. Malah, kegilaan para sahabat itu disanjung oleh Rasulullah sendiri. Mari kita lihat beberapa contoh gila-gila sahabat nabi.

Usamah bin Zaid sangat gila untuk berperang. Beliau sering bersemangat tinggi dan berjuang habis-habisan demi menegakkan agama Islam di muka bumi ini. Kegilaannya sampai di kemuncaknya apabila dia diberi tanggungjawab untuk meimpin pasukan tentera Islam menentang pasukan tentera Rom. Ramai sahabat yang tertanya-tanya tentang keputusan meletakkan Usamah bin Zaid mengepalai tentera muslimin sedangkan ramai lagi sahabat-sahabat senior yang menyertai perang yang dirasakan lebih layak untuk memegang jawatan tersebut seperti Saidina Umar dan Abu Bakar. Ini kerana umur Usamah bin Zaid ketika itu hanyalah 18 tahun. Cuba bayangkan remaja berumur 18 tahun sekarang member arahan kepada Saidina Umar dan Abu Bakar. Itulah gilanya para remaja sahabat dahulu.

Usamah bin Zaid hanya secebis contoh kisah kegilaan remaja zaman sahabat yang wajar diketahui oleh remaja zaman sekarang. Kisah lain yang patut dilihat adalah seperti Muadz dan Mu’awwidz berusaha untuk membunuh Abu Jahal di medan perang Badar, Abdullah bin Umar yang mengikuti perang Khandaq ketika berumur 15 tahun, dan juga beberapa orang sahabat yang merayu kepada Rasulullah agar diizinkan berperang kerana umur mereka yang masih kecil merisaukan ibu bapa mereka, lalu tidak diizinkan untuk pergi berperang.

Begitulah , betapa gilanya remaja pada zaman nabi Muhammad.

Kegilaan adalah rahsia kemenangan

Pengajaran yang kita dapat daripada kisah gila remaja zaman nabi juga membuktikan gila merupakan kunci kepada rahsia kejayaan. Ummat Islam berjaya mengalahkan tentera Rom ketika Usamah bin Zaid menjadi ketua. Selain itu, terdapat juga kisah lain yang agak menarik untuk kita kongsikan tentang kemenangan yang berpunca daripada sifat gila.

Pernah dengar nama Muhammad Al-Fateh? Beliau adalah contoh terbaik dalam kita melihat kegilaan sebagai satu kunci kemenangan. Sejak kecil, Sultan Muhammad Al-Fateh dididik oleh kedua ibu bapa baginda dengan didikan yang lengkap dan membina. Antara ilmu yang dikuasainya sudah tentu Al-Qur’an dan hadis. Dalam banyak-banyak hadis yang dihafalnya, ada satu hadis yang betul-betul menarik minatnya.

Hadis itu berbunyi;
“Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Sebaik-baik raja ketika itu adalah rajanya (yang memimpin serangan itu), dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Betapa gilanya Muhammad Al-Fateh ketika itu apabila dia bercita-cita untuk menjadi sebaik-baik raja yang disebutkan dalam hadis itu, sedangkan beliau baru berumur setahun jagung. Ketika itu, dikhabarkan sebanyak 15 cubaan oleh pasukan tentera Islam bermula zaman Khalifah Uthman untuk membuka kota itu. Semuanya berakhir dengan kegagalan kerana kedudukan geografi kota itu yang strategik serta pertahanan tentera Byzantine yang kuat membina kubu dan tembok yang kukuh. Kegilaannya berterusan apabila dia terus menanam azam itu sehinggalah pada umur 19 tahun, beliau diangkat menjadi sultan Empayar Khilafah Uthmaniyyah ketika itu. Bayangkan, seorang sultan berumur 19 tahun, alangkah gilanya. Tidak cukup dengan itu, 2 tahun selepas pertabalannya menjadi sultan, baginda telah berjaya merealisasikan kegilaanya sejak kecil iaitu membuka kota Konstantinopel. ketika itu beliau berumur 21 tahun.

Sebuah lagi kisah yang menarik untuk dikongsikan berkenaan kejayaan yang berpunca daripada kegilaan ialah kisah Adolf Hitler, tokoh German yang cukup dikenali ramai. Beliau berusia 32 tahun ketika mula memimpin Parti Nazi Jerman pada tahun 1921. Mencapai kemuncak kuasa sebagai Canselor Jerman pada usia 44 tahun apabila partinya menang besar dalam Pilihanraya Jerman tahun 1933.

Perasaan gila, biarlah berpandu.

Berdasarkan kisah-kisah yang telah disebutkan, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa hakikat kegilaan membawa banyak faedah. Sifat ini yang bergabung dengan keperibadian pemuda menumbuhkan semangat yang meluap-luap serta keazaman yang tinggi, akhirnya menyebabkan seseorang mampu mencapai apa yang dikehndakinya dalam hidup. Masalahnya sekarang ialah apa yang dikehendaki oleh remaja dalam kehidupannya?
Hasan Al-Banna sangat menghargai keperibadian remaja. Beliau telah menggariskan rukun pemuda yang sempurna agar semangat kegilaan remaja itu tidak disia-siakan kea rah perkara yang melalaikan seperti hiburan dan lain-lain.

Rukun yang telah digariskan ialah;
1. Keimanan asasnya adalah hati yang suci
2. Keikhlasan asasnya jiwa yang bersih
3. Semangat asasnya keinginan yang kuat
4. Usaha asasnya adalah keazaman yang membara.

Remaja, jangan jadi seperti singa yang dijinakkan.

Salah remaja sekarang pada bukan pada gilanya, tetapi pada hal apa yang digilakannya. Kebanyakan mereka tergila-gila akan perkara yang dibawa oleh musuh Islam seperti lagu yang melalaikan, fesyen yang bergaya, dan permainan internet seperti dota yang semuanya membuang masa, tenaga dan duit. bukankah ini ibarat singa sarkas yang dijinakkan? Asalnya singa itu nalurinya garang, tetapi setelah dijinakkan dia hanya mampu bermain-main dengan apa yang disediakan oleh orang yang menjinakkannya. Lihat kembali gila remaja zaman sahabat dan cuba ambil iktibar daripadanya. Tidak bolehkah kisah gila itu menjadi panduan kepada remaja untuk menyalurkan ke mana sifat gila mereka itu? Janganlah dibuang sifat gila remaja kamu itu, tetapi selaraskanlah kembali agar dirimu itu tidak musnah.

Alangkah bahagianya jika wujud segolongan remaja yang gila bermain bola sepak, sehingga mampu menggelecek pihak lawan, mengawal bola dengan baik, mengagumkan setiap penonton yg melihat corak permainan mereka, dalam masa yang sama kesemua pemain yang gila itu benar-benar melakukan perbuatan yang gila dengan memakai pakaian yang menutup aurat. Tambahan lagi, apabila mereka berjaya mengalahkan sesebuah pasukan yang tidak menutup aurat, mereka akan menegur dengan berhikmah.
Alangkah bahagianya jika wujud segolongan remaja yang gila meminati muzik dan mendalami segala ilmu muzik, lalu segala kemahiran muzik itu digunakan untuk mencipta hiburan alternatif yang membawa unsur ketuhanan dalam lagu mereka.
Alangkah bahagianya jika wujud golongan remaja yang gila melepak dengan rakan-rakan mereka sehingga larut malam, kemudian melakukan perbuatan yang lebih gila dengan mengajak mereka menunaikan sembahyang tahajjud dahulu sebelum tidur.
Alangkah bahagianya jika segala perbuatan gila-gila remaja tersebut berjaya dilakukan oleh kebanyakan remaja sekarang.

Majalah Fardu Ain,
Edisi ke6, November 2011.

3 comments:

Nawfal Fathel said...

saya sangat faham dengan gila dan remaja ini.

hamka sendiri pun beranggapan pemuda itu sebahagian dari gila. merekalah merata gunung, membelah laut.

itulah gunanya tarbiyyah untuk mendidik pemuda ini jga nasihat dari ayah-ayah kita.

nice post mad. top one!

Muhd Al-fateh said...

Syukran Pal. Baru nak start panas enjin balik. Lawak pulak bila baca balik entry2 yg lepas.

Anonymous said...

Teruskan menulis ya akhi. Bagus tulisannya